Kebanyakan pelabur terutamanya yang baru akan merasa bingung dalam pemilihan coin yang nak dibeli. Kadang-kala terjadi pembelian dibuat tanpa membuat kajian. Tak semestinya projek-projek blockchain yang kita suka akan “menjadi” seperti Bitcoin atau Dogecoin. Peningkatan nilai Bitcoin mengambil masa yang lama dan menempuh banyak peristiwa ekonomi (economic events). Harga Dogecoin pula meledak dalam sekelip mata dan ramai menjadi jutawan Doge dalam masa 3 hari sahaja. Apabila kenaikan harga berlaku, ramai antara kita akan mula berkata kepada diri sendiri “kalau la aku……”
Jangan risau. Masih belum terlambat untuk tahu cara paling mudah untuk kenalpasti coin berpotensi. Jom kita tengok ciri-ciri coin yang boleh menjadi seperti Bitcoin.
Jumlah Bekalan
Jumlah bekalan memainkan peranan yang penting dan akan mempengaruhi kehendak pasaran. Bitcoin (BTC) mempunyai jumlah bekalan yang terhad iaitu sebanyak 21,000,000. Contoh coin lain yang mempunyai bekalan terhad ialah Maker (MKR). MKR hanya mempunyai jumlah bekalan sebanyak 1,005,577. Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding BTC. Jadi kita boleh membuat jangkaan sekiranya permintaan terhadap MKR tinggi, nilai MKR akan meningkat tinggi dengan pantas. Tetapi, jika kita membuat perbandingan dengan Stellar Lumens (XLM) yang mempunyai jumlah bekalan sekitar 50 bilion, XLM memerlukan pasaran modal (market capitalization) lebih dua kali ganda dari BTC supaya nilainya setara dengan BTC.
Pasaran Modal (Market Capitalization)
Pasaran modal ialah jumlah nilai pelaburan dalam satu-satu coin. Nilai pasaran Bitcoin pernah mencecah $1.1 trilion. Nilai pasaran modal yang tinggi ini bermaksud ramai orang melabur dalam coin tersebut. Ia sama seperti sebuah perniagaan. Jika sesebuah perniagaan itu bagus, ramai pelabur akan tertarik untuk melabur dalam perniagaan tersebut. Oleh itu, pasaran modal dan jumlah bekalan menjadi faktor utama pemilihan coin.
Populariti
Coin yang popular biasanya akan mempunyai nilai yang tinggi kerana ia dikenali ramai. Contohnya Bitcoin kerana ia adalah matawang kripto yang pertama dan sangat dikenali di seluruh dunia. Sebahagian Altcoins seperti Ethereum, Dogecoin dan Ripple (XRP) mungkin telah dikenali ramai tetapi banyak lagi altcoins lain yang kurang dikenali terutamanya yang masih baru. Populariti akan menarik minat ramai orang untuk melabur dalam satu-satu coin dan ini tentunya meningkatkan kehendak pasaran terhadap coin tersebut. Masihkah anda ingat apa yang terjadi kepada Dogecoin? Harganya naik mendadak pada awal bulan Mei lepas dan selepas itu ia terus menjadi topik perbualan hangat oleh ramai orang.
Teknologi Yang Ditawarkan oleh Sesebuah Projek
Kadar pertumbuhan satu-satu coin itu bergantung kepada teknologi yang cuba diketengahkan oleh sesebuah projek. Para pelabur digalakkan untuk membaca white paper projek tersebut sebelum melabur. White paper adalah sama seperti prospektus pelaburan. Sebuah projek yang baik mempunyai white paper yang jelas dan roadmap yang terancang. Contohnya, kita boleh mendapatkan white paper Algorand (ALGO) dengan mudah dan meneliti roadmap yang telah dirancang. Projek yang tidak menawarkan teknologi yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan tertentu berpotensi untuk tidak kekal dalam pasaran kripto.
Kesimpulannya, bukan mudah untuk mencari coin berpotensi, tetapi kita masih boleh mengenalpasti coin yang berpotensi berdasarkan ciri-ciri berikut:
1. Jumlah bekalan yang rendah
2. Pasaran modal yang tinggi
3. Populariti yang tinggi
4. Projek yang menawarkan teknologi yang baik
Beberapa coin yang mempunyai jumlah bekalan yang rendah adalah seperti Elrond, Monero, Dash, Maker dan Kusama. Anda boleh cuba membuat kajian untuk coin-coin tersebut dan menilai prestasinya dari semasa ke semasa.
Sumber: thecapital,coinmarketcap