Universidad Americana iaitu sebuah universiti di Paraguay akan mula menerima matawang kripto sebagai pembayaran bermula pada bulan Ogos, kata pengarah besar (general director), Camilo Jiménez Agüero kepada CoinDesk. Universiti tersebut mempunyai pelajar seramai 17,000 orang dan 60% daripadanya belajar secara dalam talian . Pihak universiti merancang untuk menerima Bitcoin, Ethereum, Dash dan XRP dalam sistem pembayaran.
Menurut Jiménez Agüero, universiti tersebut telah memiliki dompet kripto (crypto wallet) dan bersedia untuk menerima pembayaran, tetapi fitur tersebut masih belum diaktifkan sehingga musim luruh bermula kerana mereka dalam proses memasukkan butang pembayaran dalam laman web universiti.
Tidak seperti kebanyakan entiti perniagaan yang mengatakan bahawa mereka akan menerima kripto, Universidad Americana tidak akan segera menukar matawang kripto menjadi matawang fiat. Sebaliknya, mereka akan membuat keputusan setelah menerima pembayaran, kata pengarah itu lagi.
Universidad Americana memiliki kampus utama di Asunción, ibu kota Paraguay dan mempunyai cawangan di Ciudad del Este dan Encarnación. Ia menawarkan beberapa kursus yang memfokuskan kepada blockchain dan cryptocurrency, kata Jiménez Agüero. Pandemik Coronavirus telah mendorong mereka untuk meneroka dan melaksanakan kaedah pembayaran digital yang baru. Menurut beliau lagi, pada masa ini 70% daripada pembayaran yang diterima adalah melalui atas talian, sementara selebihnya dalam bentuk tunai.
Jiménez Agüero mengatakan bahawa mereka bekerjasama dengan syarikat kripto tempatan untuk membangunkan projek ini bersama dengan pasukan IT mereka sendiri. Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama syarikat kripto tersebut. Lantaran pengumuman di Twitter, universiti tersebut menerima pertanyaan daripada institusi-institusi pendidikan lain yang meminta pertolongan untuk melaksanakan kaedah pembayaran kripto.
Menurut laporan di laman web beincrypto.com, Universidad Americana menjadi universiti ke-8 melaksanakan pembayaran menggunakan matawang kripto selepas Massachusetts Institute of Technology (U.S.), Pompeu Fabra University (Spain), Simon Fraser University (Canada), The University of Cumbria (UK), The University of Nicosia (Cyprus), ESMT Berlin (Germany) dan The Lucerne University of Applied Sciences and Arts (Switzerland).
Tambah beliau lagi, cabaran sekarang adalah untuk memperluaskan penggunaan kripto dan melakukan migrasi supaya saluran pembayaran tersebut dapat digunapakai dengan lebih cekap.
Pada minggu lalu, sebuah syarikat hiburan Paraguay, Grupo Cinco mengumumkan bahawa ia merancang untuk menerima matawang kripto sebagai kaedah pembayaran bermula Julai ini. Pengumuman ini selaras dengan kenyataan pada awal bulan ini terhadap keterbukaan Paraguay menjadikan Bitcoin sebagai legal tender di negara itu selepas negara El Salvador. Oleh itu, Jiménez mengatakan bahawa beliau percaya bahawa suatu hari nanti semua industri di Paraguay akan menerima dan menggunapakai matawang kripto secara meluas.
sumber: coindesk,forkask.news,beincrypto.com