Kredit gambar: City AM
Bitcoin telah diperkenalkan sejak 12 tahun lalu dan dipercayai berpotensi menjadi pencetus kepada perubahan dalam dunia kewangan. Bitcoin dirangka untuk menjadi satu sistem kewangan yang lebih adil dan mesra pengguna tanpa perlu ada perantaraan dari pihak bank atau kerajaan dan berupaya menggantikan sistem kewangan tradisional yang sedia ada.
Pengguna awal Bitcoin menjangkakan BTC hanya menunggu masa untuk diterimapakai secara meluas sebagai satu alternatif kepada matawang fiat. Dalam erti kata yang lain, tujuan asal BTC dicipta adalah untuk dijadikan kaedah pembayaran harian. Namun begitu, semenjak BTC berjaya mencipta fenomena kewangan global, kebanyakan cerita kejayaannya adalah berkisar tentang daya tarikannya sebagai instrumen pelaburan.
Sebelum ini, tidak banyak perkembangan yang berlaku tentang penggunaan BTC sebagai legal tender (matawang yang sah diperlakukan). Tetapi El Salvador menjadi negara pertama mengambil tindakan berani mengumumkan usul untuk menjadikan BTC sebagai legal tender di negara tersebut. Walaupun keputusan El Salvador dianggap oleh komuniti kripto sebagai satu perkembangan yang positif, terdapat pakar ekonomi dan kewangan berpendapat bahawa tindakan menjadi BTC sebagai legal tender akan membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
Apakah kelebihan dan keburukan tersebut? Jom kita fahami bersama-sama.
Kebaikan Bitcoin Sebagai Legal Tender
Bitcoin Lebih Telus dan Fleksibel
Desentralisasi merupakan satu ciri yang paling menarik yang diketengahkan dalam rangkaian Bitcoin. Rangkaian kripto menggunakan kaedah peer-to-peer (P2P) yang membenarkan pembayaran dibuat tanpa perlu ada perantaraan atau pihak ketiga. Kaedah ini berbeza dengan sistem kewangan tradisional yang mana setiap pembayaran perlu pengesahan pihak berkuasa berpusat ataupun bank. Bitcoin membolehkan kedua-dua belah pihak melakukan transaksi dengan mudah iaitu secara terus dari wallet mereka dan melihat proses tersebut disahkan oleh sekumpulan validators dalam rangkaian tersebut. Pada dasarnya, proses pengesahan transaksi Bitcoin tidak dikawalselia oleh satu entiti. Penggunaan teknologi blockchain dalam Bitcoin juga menghalang pengubahsuaian terhadap rekod transaksi yang berlaku.
Sistem pembayaran konvensional sedia ada seperti PayPal dan bank akan mengawalselia keseluruhan proses transaksi. Mereka mempunyai hak untuk menyekat transaksi individu atau hanya membenarkan perkhidmatan mereka diakses di kawasan tertentu. Mereka turut mempunyai kuasa untuk melakukan reverse payment dan amalan ini telah dikenal pasti sebagai faktor utama yang mendorong kepada kes penipuan.
Bitcoin amat sesuai untuk tujuan pengiriman wang dan pembayaran rentas sempadan kerana sifatnya yang terdesentralisasi dan tiada sekatan. Rangkaian Bitcoin tersedia di seluruh dunia. Sistem kewangan konvensional dilihat lebih terhad disebabkan banyak sekatan yang dilaksanakan. Manakala Bitcoin menawarkan fleksibiliti. Jadi Bitcoin adalah pilihan yang lebih baik untuk dijadikan sebagai legal tender kerana pengguna tidak perlu bimbang tentang pelbagai sekatan yang dikenakan.
Bitcoin Lebih Murah dan Pantas
Pembayaran rentas sempadan menggunakan Bitcoin adalah lebih murah kerana rangkaian Bitcoin tidak perlu melalui sistem birokrasi yang mana proses transaksi dikawal oleh beberapa badan perantaraan sebelum bayaran sampai ke tangan penerima. Setiap pengesahan yang dibuat oleh badan-badan perantaraan tersebut pastinya dikenakan caj perkhidmatan yang adakalanya begitu tinggi. Oleh kerana Bitcoin menggunakan rangkaian P2P, transaksi dapat dilakukan dalam masa yang amat singkat beserta caj transaksi yang minimum. Oleh itu Bitcoin membolehkan kos transaksi pembayaran rentas sempadan dan pengiriman wang menjadi lebih mudah dan berpatutan.
Bitcoin Kalis Inflasi
Bekalan Bitcoin adalah terhad kepada 21 juta BTC. Saat ini sebanyak lebih kurang 18 juta BTC berada dalam edaran dan ini bermakna masih ada lebih kurang 3 juta BTC yang masih belum dilancarkan ke dalam pasaran. Mekanisme kalis inflasi lain yang digunapakai oleh rangkaian Bitcoin adalah sistem halving bagi memastikan bilangan BTC yang diterbitkan dikurangkan apabila block baru ditambah ke dalam rangkaian blockchain Bitcoin. Bekalan yang terhad dan sistem halving berjaya mengekal trajektori kenaikan nilai Bitcoin sejak ia diperkenalkan pada tahun 2009.
Mekanisme kalis inflasi yang ada pada Bitcoin sama sekali berbeza dengan sistem kewangan tradisional yang kita guna sekarang. Kerajaan dan bank pusat boleh memutuskan untuk mencetak seberapa banyak wang kertas dan ini menyebabkan terjadinya inflasi.
Kelemahan Bitcoin Sebagai Legal Tender
Kesukaran Untuk Menetapkan Peraturan Kewangan
Bagi membolehkan Bitcoin diterima pakai sebagai legal tender, peraturan kewangan yang ada perlu dirombak. Rombakan ini sangat kritikal dan hampir mustahil dilakukan. Pendekatan dan syarat baru perlu diperkenalkan terutamanya kepada semua industri yang terlibat agar mereka dapat memahami cara untuk memproses, menukar dan menerima Bitcoin. Satu peraturan universal perlu diperkenalkan agar harga barang dan perkhidmatan diselaraskan menggunakan nilai BTC. Selain itu, sistem percukaian yang baru perlu dilaksanakan agar setiap transaksi dapat dikesan bagi tujuan pembayaran cukai. Pengesanan transaksi menggunakan BTC adalah agak sukar terutamanya apabila seseorang menggunakan non–custodial wallet.
Turun Naik Harga Yang Pantas
Bitcoin bersifat volatile, jadi harga BTC selalunya tidak stabil. Disebabkan itu BTC dilihat sebagai satu aset yang spekulatif. Turun naik harga yang terlalu pantas telah menjadi isu utama yang menjadikan BTC tidak sesuai dijadikan sebagai legal tender. Bertahun lamanya kita memiliki dan menggunakan legal tender yang stabil nilainya. Legal tender yang stabil menjadikannya lebih mudah untuk mengelakkan kerugian yang disebabkan oleh pergerakan harga yang tidak menentu. Contohnya, syarikat kereta menjual sebuah kereta berharga 1 BTC. Syarikat tersebut mungkin mengalami kerugian jika harga BTC jatuh ketika mereka menukarkannya kepada wang fiat.
Risiko ketidaktentuan harga BTC ini hangat dibincangkan di El Salvador hinggakan pada Julai lalu, rakyat negara itu melakukan protes menentang keputusan kerajaan untuk mengadoptasi Bitcoin sebagai legal tender. Salah satu isu yang dibangkitkan semasa demonstrasi ini adalah turun naik harga Bitcoin dan bagaimana ia akan mempengaruhi pendapatan isi rumah rakyat El Salvador.
Walau bagaimanapun, kenaikan harga Bitcoin sememangnya dapat meningkatkan nilai pendapatan peniaga, syarikat dan individu yang menerima aset digital itu sebagai legal tender.
Kesimpulan
Sepertimana yang telah dibincangkan di atas, penggunaan Bitcoin untuk kaedah pembayaran harian mempunyai kebaikan dan kekurangan. Walaupun kita telah mengenalpasti beberapa kebaikan dan keburukan tersebut, penggunaan Bitcoin di El Salvador akan memberikan kita gambaran yang lebih jelas dan kita bakal melihat apakah kesan langsung daripada penerimaan Bitcoin sebagai legal tender.
Sumber: Coinmarketcap
“Alhamdulillah walaupun baru sahaja berguru dengan tn Mayee Nazrich telah byk portfolio sy mencapai 100% dalam tempoh yang singkat kerana kualiti fundemental crypto pilihan tersebut.Malah ada yang mencecah 1000% lebih melalui hint yang cgu berikan dalam page shj..Semoga cikgu dikurniakan kesihatan yg baik dan dapat menolong lebih ramai lagi orang yang berminat dengan sektor crypto ini dengan pemahaman ilmu yang sebenarnya. Terima kasih cikgu mayee”