4 minit bacaan

Isi Utama :

  • Bitcoin telah menjadi mata wang kripto paling bernilai di dunia, namun beribu-ribu mata wang kripto alternatif (altcoins) yang dicipta sebagai pesaing kepada Bitcoin kerap mendakwa mereka bakal meledakkan pasaran dunia kripto seterusnya. ·      
  • Dalam menilai prestasi aset kripto, pergerakan harga terkini bukanlah indikator yang perlu dilihat semata-mata·     
  • Menaksir nilai jangka pendek dan jangka panjang setiap altcoin boleh menjadi perkara yang “menyemakkan fikiran” memandangkan terdapat banyak kajian yang perlu dilakukan terlebih dahulu, namun terdapat beberapa faktor yang boleh dipertimbangkan semasa membuat penilaian tersebut. 
  • Dalam artikel ini,  kami sediakan 5 langkah yang boleh anda pertimbangkan sebelum membuat keputusan membeli altcoin untuk pelaburan anda .

Sejak Bitcoin dicipta pada tahun 2010 dan popularitinya melonjak beberapa tahun kebelakangan ini, ia telah menjadi pemacu utama pasaran mata wang kripto dengan dominasi pasaran yang pernah mencecah sehingga 80% pada satu-satu masa sejak sedekad yang lalu. Walaupun Bitcoin lebih sinonim dengan industri kripto, namun senario ini perlahan-lahan berubah dengan beberapa inovasi berkaitan blockchain yang muncul dari projek kripto di luar aset pemacu industri kripto ini. 

Hanya setahun selepas kewujudan Bitcoin, beberapa mata wang kripto alternatif, atau lebih dikenali sebagai altcoins, telah dicipta. Diilhamkan oleh teknologi blockchain Bitcoin, altcoin ini lazimnya memperkenalkan penggunaan blockchain yang berbeza dengan lelaran Bitcoin yang asal. Sebilangan altcoin ini boleh dikatakan mirip seperti Bitcoin;  sekurang-kurangnya dari segi penciptaan mereka sebagai ‘aset yang terhasil dari kesan’ pengemaskinian besar-besaran dalam blockchain Bitcoin.

Pada awal tahun 2010, hanya terdapat segelintir altcoin sahaja di pasaran, namun sejak kemunculan Ethereum pada tahun 2015 dan popularitinya yang semakin meningkat pada tahun 2017, jumlah altcoin yang berada di pasaran semakin meningkat dengan ketara. Teknologi kontrak pintar Ethereum menjadikan lebih mudah bagi projek untuk mencipta mata wang kripto mereka sendiri, yang membawa kepada pembentukan beberapa ‘startup‘ yang masih kekal sebagai tonggak utama pasaran kripto sehingga hari ini.  Walaupun Bitcoin masih lagi mengekalkan dominasinya, namun secara perlahan-lahan boleh dilihat pasaran kripto telah mencapai satu tahap yang “matang” apabila kini anda boleh menilai sesuatu altcoin tanpa perlu membandingkannya dengan Bitcoin.

Bitcoin vs Altcoin

Pada pandangan mata kasar, mudah untuk kita beranggapan bahawa dominasi Bitcoin di pasaran menjadikannya kripto yang paling bernilai untuk dilaburkan. Dengan rekod prestasinya melebihi sedekad, revolusi kewangan yang berterusan dan pengaruh terhadap pelabur institusi kewangan tradisional yang semakin meningkat;  Bitcoin sememangnya berada di landasan yang betul untuk kekal sebagai pemacu utama pasaran kripto bagi tahun-tahun mendatang; dengan syarat tiada sebarang peristiwa ‘luar biasa’ yang berlaku.   

Walau bagaimanapun, ledakan pasaran kripto secara keseluruhannya telah memberi ruang kepada altcoin terkenal yang lain untuk menjadi ‘pemain utama’ dalam dunia kripto. Walaupun Bitcoin mendapat perhatian daripada pedagang dan pemilik kripto, namun altcoin mempunyai kelebihan lain dalam mengembangkan pengaruh dan kebolehcapaian mereka. Ini telah menyebabkan beberapa keadaan di mana beberapa altcoin menunjukkan pertumbuhan yang jauh lebih baik melebihi Bitcoin. Pada tahun ini sahaja, daripada 100 mata wang kripto teratas yang disenaraikan di CoinMarketCap, hanya 10 mata wang kripto yang menunjukkan prestasi yang lebih buruk daripada Bitcoin, ini merangkumi 15 daripada 20 aset kripto teratas dalam senarai. (7 stable coins telah dikecualikan daripada senarai 100 teratas)

Namun begitu, setiap altcoin mempamerkan kekuatan dan kelemahannya sendiri  yang menyebabkan timbulnya persoalan mengenai daya tahan jangka hayatnya.  Banyak altcoin, terutama yang tercipta semasa ledakan pasaran kripto, yang pada awal keluarannya kelihatan begitu kuat dan meyakinkan, namun telah mula merosot disebabkan sesuatu faktor. Beberapa altcoin telah dilabel sebagai ‘komplot penipuan’ (scam) dengan memperdayakan pelabur dan pedagang yang tidak membuat penilaian kewajaran (due diligence) pelaburan mereka terlebih dahulu. Dalam artikel ini, kami telah sediakan panduan terperinci bagi membantu anda untuk mengenalpasti token yang bernilai dalam pelaburan kripto.

 

Lima Faktor yang Perlu Dipertimbangkan Semasa Menilai Sesuatu Altcoin 

 Walaupun tidak ada satu kaedah yang paling  tepat bagi menilai aset kripto, terdapat  beberapa faktor penting  yang boleh dipertimbangkan apabila menilai sesuatu aset kripto dan unjurannya. Bagi setiap faktor yang dinyatakan, kami telah menyediakan beberapa soalan penting yang boleh digunakan semasa menilai merit sesuatu altcoin.

1.Fungsi

Altcoin lazimnya dicipta dengan kegunaan spesifik yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah dalam sesuatu industri melalui penyelesaian blockchain.  Altcoin yang tidak mempunyai fungsi yang jelas tidak mempunyai masa depan sebagai aset yang bernilai untuk disimpan. Masalah yang dihadapi oleh beberapa altcoin yang pada awalnya popular namun terkubur separuh jalan adalah berpunca daripada kegunaannya untuk penyelesaian bagi masalah yang tidak pernah wujud sama sekali.  Selain itu, sekiranya terdapat altcoin yang mengatakan bahawa mereka akan menjadi lebih ‘besar’ daripada Bitcoin, ini merupakan petanda-petanda awal yang perlu dielakkan bagi bakal pelabur.

Berikut adalah beberapa persoalan yang perlu dijawab semasa mempertimbangkan sesuatu altcoin : 

  •   Adakah altcoin ini melakukan perkara penting selain daripada meniru coin yang sedia ada?
  •  Apakah tujuan kegunaan altcoin ini dan adakah matlamat tersebut boleh dicapai dalam masa terdekat?   

2. Pembangun dan Penyokong (Developer & Support)

Apabila menilai potensi sesuatu altcoin, anda harus menggunakan kaedah penilaian yang sama apabila menilai kekuatan sesebuah syarikat dalam menjana perniagaan. Justeru itu, perhatikan pasukan yang mengendalikan projek kripto tersebut. Anda boleh mulakan dengan menyemak siapakah pasukan yang membangunkan projek tersebut dan rekod prestasi mereka. Nilai seberapa banyak usaha dan kesungguhan yang telah ditunjukkan dalam menjayakan projek tersebut. Jangan hanya melihat apa yang tertera di dalam resume mereka semata-mata. Adakah usaha yang dilakukan ini menunjukkan hasil yang positif? Adakah terdapat usaha di pihak pembangun dalam menghebahkan kepada orang awam setiap kemajuan yang berjaya dicapai dari semasa ke semasa.

 Tanya diri anda soalan-soalan berikut :

  •  Adakah pasukan pembangun berdaya saing dan mempunyai reputasi yang baik?
  • Adakah pasukan tersebut memaklumkan pengemaskinian penting tentang projek kripto mereka secara aktif?
  • Adakah mereka berusaha untuk memperbaiki produk dan selalu berhubung dengan pelabur mereka?

Perlu ditekankan di sini, faktor ini mungkin lebih penting bagi altcoin baru yang masih belum memberi impak kepada industri mata wang kripto. Namun sekiranya altcoin ini telah lama wujud di pasaran, faktor yang ketiga seharusnya lebih diutamakan. 

 3.Sejarah dan Reputasi

Kadang kala, projek kripto dan altcoin yang berkaitan dengannya mungkin mempunyai ahli pasukan dengan reputasi CV yang baik. Namun, itu bukan jaminan bahawa altcoin ini akan berjaya. Kadang-kala, terdapat peristiwa yang terjadi dalam sejarah altcoin tersebut yang akhirnya memberi kesan kepada penilaian sebenar anda terhadap aset kripto itu. Berhati-hatilah dengan petanda-petanda berikut yang mungkin kelihatan apabila anda menjawab soalan berikut:

  • Adakah terdapat sebarang ‘skandal’ dalam sejarah aset kripto tersebut?
  • Adakah terdapat sebarang isu pelanggaran keselamatan yang terbongkar?
  • Berapa lamakah  altcoin tersebut berada di pasaran, dan berapakah  nilai peningkatannya sejak itu?

 

4. Jumlah (Volume)

Melainkan anda adalah dalam kategori pelabur yang berani menceburkan diri ke dalam projek yang ‘masih mentah’ dan mampu bertoleransi dengan pelaburan berisiko tinggi, adalah lebih ‘selamat’ sekiranya anda menilai prestasi sesuatu altcoin di pasaran terbuka. Selain mengkaji sejarah harganya, anda boleh menilai prestasi altcoin berdasarkan jumlah yang diperdagangkan (trade volume). Secara ringkasnya, lebih ramai yang memperdagangkan altcoin tersebut dalam jumlah yang banyak, maka lebih baiklah altcoin tersebut. Lebih-lebih lagi apabila terdapat ramai orang yang menggunakan altcoin tersebut mengikut tujuan sebenar penciptaan altcoin tersebut.

 Terdapat dua soalan penting yang perlu ditanya di bawah faktor ini iaitu :

  • Berapa ramai orangkah yang menggunakan altcoin tersebut sekarang?
  • Adakah altcoin tersebut diperdagangkan dalam mana-mana pertukaran (exchange) utama ?

 5. Kebolehcapaian

Sekiranya, pada tahap ini, anda menyukai apa yang anda lihat di altcoin yang anda kaji, anda harus memeriksa betapa mudahnya untuk memperoleh aset tersebut. Tambahan pula, altcoin yang berpotensi yang sukar diakses hanya akan menyukarkan pelabur berbanding aset yang sebenar. Altcoin yang mudah diakses lebih senang dicapai oleh orang ramai dan lebih berpotensi tinggi untuk masuk ke pasaran yang berskala besar.  Periksa perkara berikut:

  • Bagaimana anda membeli altcoin tersebut?
  • Adakah anda dapat membeli altcoin tersebut melalui kad kredit, pindahan wang melalui bank, atau P2P?

Sekiranya jawapan untuk soalan di atas tidak memuaskan, maka lebih baik untuk kekal dengan pelaburan sedia anda sahaja sehinggalah anda berjumpa dengan altcoin yang lebih berbaloi dan menguntungkan.

Rumusan

Apabila mengkaji  nilai jangka panjang sesuatu altcoin, selain daripada 5 faktor di atas, anda boleh memperhalusi beberapa faktor lagi untuk dipertimbangkan. Ia bergantung kepada apa yang diukur sebagai ‘berharga’ di mata anda. Anda boleh mengambil kira beberapa ‘petunjuk’ dari beberapa syarikat terkemuka dalam pasaran kripto. Dalam kebanyakan kes, altcoin perlu diperhalusi dan ‘dibedah’ dengan lebih baik lagi. Sebagai contoh, Binance mempunyai sistemnya tersendiri dalam menilai altcoin yang dianggap berbaloi untuk diperdagangkan. Ketika penilaian ini dilakukan, kami mengambil kira beberapa faktor sebelum menyenaraikan atau mengeluarkan dari senarai Binance bagi sesuatu aset kripto seperti :

  •  Komitmen pasukan terhadap projek kripto
  • Tahap dan kualiti aktiviti pembangunan
  • Jumlah dagangan dan kecairan aset
  • Kestabilan dan keselamatan rangkaian dari serangan
  • Kestabilan rangkaian/ kontrak pintar
  • Tahap komunikasi awam
  • Maklum balas terhadap penilaian kewajaran (due diligence) secara berkala
  • Bukti perlakuan yang tidak beretika/penipuan atau kecuaian
  • Sumbangan kepada ekosistem kripto yang sihat dan lestari

Dengan itu, kami berharap artikel ini memberikan gambaran yang lebih jelas bagi proses-proses yang terlibat dalam memilih altcoin yang sesuai dengan portfolio dan tahap risiko anda.

Nota: Artikel ini tidak menyokong sebarang mata wang kripto atau projek kripto  dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan, namun lebih kepada mendidik anda untuk membuat penyelidikan dan kesimpulan anda sendiri. Binance tidak bertanggungjawab atas segala hasil yang timbul dari aktiviti perdagangan anda.

 

 Sumber daripada Binance Academy.

  

 

 

 

 

 

 

 

error: Content is protected !!