kredit gambar: freepik
Tidak kira berapa besar saiz portfolio anda, anda masih perlu membuat pengurusan risiko yang betul. Keuntungan yang dijana selama berminggu-minggu atau mungkin bertahun-tahun boleh hilang sekelip mata jika pelaburan tidak diuruskan dengan baik.
Perkara asas dalam pelaburan dan perdagangan yang ramai orang terlupa ialah EMOSI. Elakkan membuat sebarang keputusan mengikut perasaan. Anda perlu pastikan emosi anda stabil supaya ia tidak mempengaruhi keputusan pelaburan anda. Jadi, anda dinasihatkan untuk menggariskan peraturan yang mesti dipatuhi semasa melakukan pelaburan dan aktiviti perdagangan.
Peraturan tersebut dipanggil trading system (sistem perdagangan). Sistem ini adalah sebagai panduan untuk anda menguruskan risiko dan mengelakkan anda membuat keputusan yang tidak perlu. Apabila tiba waktunya, trading system anda akan membantu anda untuk tidak membuat keputusan yang tergesa-gesa.
Terdapat beberapa perkara yang perlu anda pertimbangkan semasa anda merancang trading system. Contohnya, anda perlu tahu matlamat pelaburan anda, tahap risiko kerugian yang mampu anda tanggung, modal yang anda ingin laburkan dan sebagainya.
Pada kali ini, jom kita pelajari cara paling mudah untuk menentukan saiz pegangan (position sizing) ketika anda ingin membuat pelaburan atau menjalankan aktiviti perdagangan.
Sebelum kita pelajari secara terperinci cara menentukan saiz pegangan, kita perlu mengambil kira beberapa elemen penting yang berkait rapat dengannya iaitu:
1. Saiz Akaun
2. Risiko Modal
3. Risiko Perdagangan
Cara Menentukan Saiz Akaun
Walaupun ini kelihatan senang, tetapi sering diabaikan. Ia amat penting terutamanya bagi seorang beginner kerana membantu anda membuat strategi pembahagian portfolio. Dengan cara ini anda boleh mengawalselia dan menilai kemajuan pelaburan anda menggunakan strategi yang berbeza dan membolehkan anda mengurangkan risiko kerugian.
Contohnya, anda yakin Bitcoin mempunyai masa depan yang cerah dan anda menyimpannya dalam hardware wallet sebagai aset jangka panjang. Jadi modal untuk pelaburan Bitcoin tidak dikira sebagai sebahagian modal untuk anda melakukan aktiviti trading. Dengan cara ini, anda telah mengasingkan modal untuk pelaburan jangka panjang dan aktiviti trading agar tidak bercampur dan memeningkan anda.
Cara Menentukan Risiko Modal
Sebagai seorang pelabur dan pedagang yang baik, anda harus mempunyai cara untuk mengawal risiko kerugian anda. Anda mesti tahu berapa risiko kerugian yang sanggup anda tanggung untuk setiap aset yang anda laburkan atau untuk setiap trading yang anda lakukan.
2% Rule merupakan satu strategi pelaburan yang digunapakai dalam dunia kewangan tradisional. Berdasarkan peraturan ini, pedagang tidak boleh mengambil risiko lebih dari 2% dari jumlah modal untuk setiap trading yang dilakukan. Kita akan pelajari apa maksud 2% Rule ini, tetapi mungkin kita perlu melakukan sedikit perubahan untuk kegunaan dalam pasaran kripto memandangkan pasaran kripto mempunyai volatility yang lebih tinggi.
Peraturan ini amat sesuai dengan gaya pelaburan jangka panjang dan hanya melibatkan beberapa pegangan. Ia juga biasanya digunakan untuk instrumen pelaburan yang kurang volatile. Sekiranya anda seorang pedagang yang aktif terutamanya anda seorang yang baru bermula dalam aktiviti trading, peraturan ini boleh menjadi “jaket keselamatan” anda. Anda boleh mengubah peratusan risiko kepada 1%. Dengan ini, anda hanya akan merisikokan 1% dari jumlah modal untuk setiap trading yang anda lakukan. Maksudnya, sekiranya aset yang anda dagangkan mengalami penurunan harga and terkena stop-loss yang anda tetapkan, anda hanya akan rugi 1% dari jumlah modal anda.
Cara Menentukan Risiko Perdagangan
Sekarang mari kita pelajari cara untuk menentukan risiko perdagangan. Sebelum anda melakukan trading, anda haruslah melakukan analisa terhadap aset yang anda ingin beli agar anda dapat merangka idea perdagangan (trade idea). Jangan melakukan trading dengan membuta-tuli.
Adakalanya trade idea anda gagal. Turun naik harga yang tidak menentu menjadikan apa yang anda rancang tidak menjadi. Jadi menentukan risiko perdagangan adalah amat penting kerana dalam pelaburan dan aktiviti perdagangan, kerugian pasti berlaku. Pelaburan dan perdagangan ibarat permainan kebarangkalian (probability). Walaupun anda merupakan pemain terbaik, anda tidak selalunya menang. Bagi sesetengah pedagang, trade idea mereka selalunya lebih banyak salah dari betul, tetapi mereka masih boleh menjana keuntungan. Pelik bukan? Ini kerana mereka mempunyai pengurusan risiko yang betul, memiliki strategi trading yang baik dan yang paling penting mereka patuh kepada perancangan yang dibuat.
Setiap trade idea, pasti akan ada titik kegagalan. Anda mungkin pernah mendengar kenyataan begini, “idea trading ini dah silap dan kita harus keluar dari posisi ini untuk mengurangkan kerugian”. Ini bermaksud, anda perlu melakukan stop-loss order.
Cara menentukan titik kegagalan dalam trade idea adalah berdasarkan strategi perdagangan individu dan persediaan yang dilakukan. Bagaimana anda tahu bahawa trade idea anda telah menemui titik kegagalan. Anda boleh menggunakan beberapa parameter teknikal seperti kawasan support dan resistance, indikator teknikal, garisan trend dan sebagainya.
Tidak ada satu pendekatan yang dipanggil one-size-fits-all untuk menentukan kerugian anda. Anda harus menentukan sendiri strategi yang bersesuaian dengan gaya trading anda.
CARA MENENTUKAN SAIZ PEGANGAN
Anda telah pelajari cara menentukan saiz akaun, risiko modal dan risiko perdagangan. Ini adalah 3 elemen penting dalam menentukan saiz pegangan.
Sekarang bayangkan anda mempunyai akaun sebanyak $5,000. Anda telah tentukan yang anda akan mengambil risiko tidak lebih dari 1% dalam setiap trade yang dilakukan. Ini bermakna, anda hanya akan rugi tidak lebih dari $50 untuk setiap trade jika trade idea anda gagal.
Katakanlah anda telah melakukan analisa pasaran dan anda tentukan bahawa risiko perdagangan adalah 5% dari harga beli. Jadi apabila harga turun 5% dari harga beli, anda harus melepaskan pegangan dan menerima kerugian sebanyak $50.
Formula untuk menentukan saiz pegangan:
Saiz Pegangan = Saiz Akaun x Risiko Modal / Risiko Perdagangan
Contoh 1:
Saiz Akaun = $ 5,000
Risiko Modal = 1%
Risiko Perdagangan = 5%
Saiz Pegangan = $ 5,000 x 0.01 / 0.05
Saiz Pegangan = $ 1,000
Contoh 2:
Saiz Akaun = $ 5,000
Risiko Modal = 1%
Risiko Perdagangan = 10%
Saiz Pegangan = $ 5,000 x 0.01 / 0.1
Saiz Pegangan = $ 500
Jika anda ikut strategi ini, anda mungkin dapat mengelakkan diri dari kerugian yang besar. Selain itu, anda juga perlu mengambil kira yuran yang berkaitan perdagangan yang perlu dibayar. Jika anda berdagang instrumen yang mempunyai kecairan yang rendah, anda harus memikirkan tentang potential slippage.
Kesimpulan
Pengiraan bagi menentukan saiz pegangan bukanlah dibuat dengan sewenang-wenangnya. Pengiraan ini melibatkan 3 elemen penting iaitu saiz akaun, risiko modal dan risiko perdagangan. Anda boleh memasuki pasaran dengan lebih yakin setelah saiz pegangan ditentukan.
Seperkara lagi yang penting ialah cara pelaksanaan. Anda mesti ikut apa yang telah dirancang. Saiz akaun, risiko modal dan risiko perdagangan semua telah ditentukan dengan teliti dan anda tidak dibenarkan mengubah pendirian semasa pasaran sedang berlangsung.
Nampak mudah bukan. Tetapi tidak senang untuk dipraktikkan.
Sumber: binance academy