Sememangnya matawang digital adalah satu aset yang berada pada kelasnya tersendiri, tetapi tiada jaminan ia akan kekal di mana ia berada selamanya. Seorang profesor ekonomi di George Mason University, Tyler Cowen berpandangan bahawa terdapat beberapa perkara berkaitan ekonomi yang tidak difahami oleh komuniti kripto. Tyler Cowen juga merupakan seorang penulis buku bertajuk The Complacent Class: The Self-Defeating Quest for the American Dream dan kolumnis di Bloomberg Opinion.

Beliau mempertikaikan kebolehan matawang kripto untuk kekal selamanya. Beliau berkongsi pendapat dengan menerangkan sebab-sebab sebahagian daripada dunia ekonomi dan kewangan arus perdana tidak memandang matawang kripto ini secara serius. Sejujurnya beliau merasakan ramai yang tidak memahami hal-hal berkaitan ekonomi.

Tokenize

2 perkara berkaitan ekomoni yang komuniti kripto tidak faham.

1. Kestabilan Matawang Dolar Amerika

Matawang Dolar tidak berada di ambang kejatuhan dan tidak mungkin boleh digantikan oleh aset kripto. Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang memiliki kekuatan ekonomi terbesar di dunia. Negara itu juga mempunyai kuasa melaksanakan cukai, rangkaian rakan sekutu yang kuat dan sistem ketenteraan yang paling ampuh. Memang benar Amerika Syarikat telah mencetak wang fiat dengan banyak sejak tahun 2008, tetapi mereka turut mengambil langkah-langkah untuk membendung kejatuhan nilai Dolar.

Kadar inflasi dijangka akan terus meningkat untuk dua tahun akan datang, tetapi tekanan inflasi untuk beberapa barangan menunjukan penurunan, contohnya harga kayu yang mengalami kemerosotan. Dalam masa 10 tahun lagi, kerajaan Amerika Syarikat dijangka dapat membuat pinjaman dengan kadar faedah hampir sifar (near-zero) dan ini membuktikan tiada tanda-tanda kejatuhan dalam sistem ekonomi dan kerajaan.

Amerika Syarikat tidak akan muflis mahupun mengalami hyperinflation. Nisbah hutang berbanding KDNK (debt-to-GDP) mungkin mencecah 200%, tetapi keadaan ini masih terkawal. Perbandingan dibuat dengan negara yang lebih kecil seperti Jepun yang dilihat mampu bertahan walaupun tahap hutangnya adalah sama. Kekayaan sesebuah negara amat sukar untuk dianggarkan dan mungkin boleh meningkat sehingga 6-8 kali lebih tinggi daripada KDNK. Walaupun kadar debt-to-GDP adalah 200%, boleh jadi kadar debt-to-wealth hanyalah 25%. Jadi kadar debt-to-GDP ini tidak boleh dijadikan petunjuk bahawa dunia akan berakhir.

2. Ketidakmatangan Matawang Kripto

Komuniti kripto perlu tahu bahawa kenaikan harga matawang kripto tidak akan terus berlaku selamanya. Teknologi matawang kripto mungkin akan mengalami pembaharuan setiap tahun atau mendapat sokongan pelaburan yang besar, tetapi lama-kelamaan pasaran kewangan dengan sendirinya pasti dapat mengetahui nilai sebenar matawang tersebut. Pada masa itu potensi kadar pulangan dapat dijangka.

Nilai matawang kripto tidak dapat menyamai potensi pasaran hasil seni yang unik seperti lukisan oleh Andy Warhol. Walaupun kecairan dalam pasaran sentiasa ada, tetapi nilai lukisannyya tidak boleh dibandingkan dengan nilai pelaburan hasil seni yang lain.

Terdapat banyak pendapat mengatakan bahawa pasaran kewangan masih tercari-cari skala pengukur untuk nilai sebenar matawang kripto. Kripto turut dilihat sebagai pelaburan yang memberi kadar pulangan yang rendah. Sejauh mana kripto dapat digunakan sebagai aset cagaran atau untuk tujuan kecairan? Adakah orang ramai bersedia menyimpan kripto pada kadar pulangan yang rendah, sama seperti mereka menyimpan wang tunai? Persoalan-persoalan ini masih terus dibahaskan.

Pasaran Bitcoin boleh dikatakan matang sekiranya pada suatu hari nanti pasaran ekuiti dijangka meningkat 5-7% setahun manakala Bitcoin meningkat sebanyak 1%. Secara umumnya boleh disiimpulkan bahawa matawang krip telah menjadi satu aset luar biasa dalam sejarah, tetapi ia tidak akan terus kekal menjadi luar biasa selama-lamanya.

Sumber: bloomberg.com

error: Content is protected !!