Select Page

Seorang usahawan telah menubuhkan perniagaan berkaitan perlombongan matawang kripto yang dikuasakan oleh tinja haiwan. Prestasi perniagaan beliau meningkat secara mendadak sejak CEO Tesla, Elon Musk mempersoalkan aktiviti perlombongan Bitcoin yang tidak mesra alam. Usahawan tersebut ialah Josh Riddett yang berpangkalan di United Kingdom dan telah memulakan syarikat Easy Crypto Hunter pada tahun 2017 di Manchester.

Easy Crypto Hunter adalah sebuah syarikat pembekal peralatan perlombongan matawang kripto. Setakat ini syarikat tersebut berjaya menerima jumlah tempahan bernilai £5juta untuk mesin perlombongan yang dikuasakan oleh tinja haiwan.

Kritikan Elon Musk telah membuka peluang kepada Josh Riddet untuk meneroka segmen perniagaan yang baharu walaupun pasarannya agak terhad. Kini syarikat beliau turut menawarkan peralatan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) kepada peladang dan petani. Para peladang dan petani di United Kingdom dilihat semakin berminat untuk memanfaatkan bidang renewable energy seperti solar (cahaya matahari), hydro (air), wind (angin) atau biogas (penghasilan tenaga menggunakan sisa buangan seperti tinja haiwan yang melalui proses pencernaan anaerobik).

Josh Riddett ingin membantu para peladang dan petani dengan menjadikan ladang mereka sebagai mini data center dengan menggunapakai teknologi blockchain. Tenaga yang dijana boleh dijual semula kepada National Grid sekitar harga £0.04 -£0.07 untuk setiap kWh. Tetapi mereka boleh memperoleh pendapatan sehingga 10 kali ganda sekiranya tenaga tersebut digunakan untuk menjalankan kerja – kerja perlombongan kripto.

Sememangnya Bitcoin merupakan matawang kripto yang paling dikenali dan popular. Perlombongan adalah satu bentuk pengauditan atau penyimpanan rekod yang menggunakan kuasa pemprosesan komputer tanpa henti selama 24 jam sehari setiap hari. Oleh itu, penggunaan kuasa elektrik adalah sangat tinggi. Walau bagaimanapun, mesin perlombongan dari Easy Crypto Hunter yang berukuran 70 cm x 35 cm x 40 cm telah direka untuk melombong matawang digital lain seperti Ravencoin dan Ethereum dengan penggunaan tenaga yang lebih cekap.

Easy Crypto Hunter kini memiliki lebih dari 250 pelanggan termasuk golongan yang dikenali sebagai Crypto Whales. Terdapat juga pelanggan dari kalangan individu yang memiliki net worth yang tinggi yang biasanya mempunyai 30-40 mesin perlombongan. Menurut Riddett, Elon Musk telah menghapuskan berbilion-bilion nilai pasaran kripto ketika beliau mengkritik perlombongan Bitcoin memudaratkan alam sekitar. Tetapi Easy Crypto Hunter menawarkan sesuatu yang lebih baik. Mesin perlombongan mereka mampu melombong ratusan matawang digital yang berbeza selain daripada Bitcoin. Mereka berpendapat bahawa aktiviti perlombongan Bitcoin memerlukan tenaga yang lebih tinggi berbanding kerja-kerja melombong matawang kripto yang lain seterus menjadikan perlombongan Bitcoin kurang menguntungkan.

Menurut Riddett lagi, pada awal perniagaan ini dijalankan iaitu empat tahun yang lalu, beliau tidak merancang untuk menceburi bidang tenaga hijau. Tetapi kini kira-kira 40% hasil pendapatan perniagaan adalah daripada segmen tersebut dan ia berkembang setiap hari. Beliau mengakui tenaga hijau atau tenaga boleh diperbaharui merupakan satu idea perniagaan yang bagus kerana ia memberi manfaat dan nilai tambah kepada para pelanggan dan pembekal peralatan tenaga hijau. Ia boleh dipanggil situasi win-win bagi kedua-dua belah pihak.

Sumber: MarketWatch, Farming Life

error: Content is protected !!