Every coin will always have two sides.
Siapa yang tidak mengenali Dogecoin. Harga Dogecoin mencecah paras tertinggi sekitar $0.70 pada awal Mei lalu. Sekarang Dogecoin berada di kedudukan 10 teratas berdasarkan pasaran modal. Tetapi mengapa penciptanya, Jackson Palmer berasa kecewa?
Jackson Palmer memilih untuk lebih berdiam diri dan hanya sekali-sekala muncul membuat kenyataan sebelum mendiamkan diri lagi. Tetapi baru-baru ini Palmer menzahirkan kekecewaan dalam isu komuniti kripto yang disifatkan semakin parah dan mengapa beliau memilih untuk tidak lagi terlibat dalam dunia kripto.
Si Kaya Semakin Kaya
Di sebalik idea kebebasan kewangan (financial freedom), Palmer percaya kripto hanya satu medium yang dicipta untuk menjana keuntungan yang lebih lumayan untuk orang kaya dengan cara menghapuskan kuasa pengawalseliaan dari kerajaan. Beliau menjelaskan bahawa sistem desentralisasi itu adalah suatu ilusi semata-mata. Beliau percaya industri kripto sebenarnya dikuasai oleh sebuah “kartel” yang mewarisi struktur kuasa sedia ada.
Bekas Menteri Kewangan Greece, Yaris Varoufakis turut melontarkan kritikan yang sama. Varoufakis berpendapat matawang kripto hanya memberi manfaat kepada segelintir golongan. Jadi ia bukanlah suatu idea demokrasi kewangan yang selalu diwar-warkan oleh komuniti kripto.
Varoufakis berkata wang adalah bersifat politik. Jadi benarkah wang boleh didemokrasikan. Beliau menzahirkan kebimbangan kepada mereka yang benar-benar teruja dengan Bitcoin kerana apabila mereka mendapati bahawa idea demokrasi kewangan adalah suatu idea yang silap. Menurut beliau lagi tiada mekanisme khusus untuk menentukan siapa yang akan dapat Bitcoin dan berapa banyak Bitcoin yang akan anda dapat.
Jackson Palmer pula menyifatkan bahawa kripto adalah sistem kapitalis yang paling teruk. Orang kaya akan bertambah kaya. Ketiadaan pengawalan menyebabkan kripto berpotensi menyumbang kepada isu sosial seperti rasuah, penipuan dan ketidaksamaan. Teknologi blockchain di sebalik matawang kripto membolehkan campur tangan yang terhad dari pihak berkuasa yang selama ini memberi perlindungan kepada orang awam.
Memberi Kelebihan Kepada Scammer dan Manipulator
Sememangnya segala keputusan jual/beli adalah tanggungjawap pelabur. Tetapi Jakson Palmer melihat ada berlaku ketidakadilan yang memberikan kelebihan kepada scammer dan manipulator.
Password hilang? Salah anda
Jadi mangsa scam? Salah anda
Orang kaya memanipulasi pasaran? Wow..pintarnya mereka
Jadi kebebasan ini telah dirancang bagi memudahkan sistem kapitalis dilaksanakan dalam dunia kripto sejak awal lagi. Akhir sekali, pencipta Dogecoin itu mengkritik budaya ketaksuban dalam ekosistem kripto yang mana perbahasan pendapat hanya akan berakhir dengan serangan peribadi.
Perlu diingat bahawa Palmer telah menjual kesemua pegangannya dalam Dogecoin sejak dulu lagi. Jadi beliau tidak mengaut apa-apa keuntungan semasa Dogecoin mencatat harga tertinggi. Dogecoin berjaya meraih perhatian ramai semasa bullrun baru-baru ini dan ketika berlakunya kegilaan terhadap pasaran meme coins. Coin sebegini selalunya wujud disebabkan trend semasa dan kebanyakan projek akan mengalami pump and dump.
Terdapat sebahagian komuniti kripto memilih untuk bersikap lebih neutral terhadap kritikan Palmer, walaupun apa yang diperkatakan oleh beliau ada kebenarannya. Tetapi mereka juga berpendapat bahawa Palmer sangat jarang muncul untuk mendekati komuniti kripto dan ini menyebabkan beliau berpaling dari dunia kripto.
Kenyataan Palmer ternyata menimbulkan pelbagai kontroversi di kalangan komuniti kripto. Ada yang bersetuju dengan pandangan beliau. Tidak kurang juga yang menyangkal dakwaan tersebut. Walau bagaimanapun, pepatah inggeris ada mengatakan every coin will always have two sides.
Sumber: cryptopotato.com
<<< Back