Select Page

 APA ITU SMART CONTRACT ATAU KONTRAK PINTAR ?

Kontrak pintar atau smart contract adalah program komputer yang berjalan dalam protokol blockchain yang dijalankan secara automatik berdasarkan keadaan atau syarat yang telah ditetapkan dan tidak dapat diubah sama sekali setelah dilaksanakan [1].  Kontrak pintar dirancang untuk menyelesaikan masalah dunia nyata menggunakan sistem berkomputer dan membuang faktor manusia atau pihak ketiga dalam membuat keputusan dalam transaksi yang dijalankan.

Smart contract mempunyai kebolehan untuk menerima, menyimpan dan menghantar dana. Smart contract adalah terdesentralisasi (tidak ada satu mesin pun yang mengawal kontrak tersebut). Smart contract yang paling popular setakat hari ini (2021) adalah Ethereum dan mempunyai pesaing lain seperti Cardano, Tezoz , Eos dan Tron. Kontrak Pintar bukan saja boleh dilaksanakan hanya dalam industri kewangan sahaja malah banyak sektor yang boleh memanfatkan dari sistem kontrak pintar ini dalam memudahcara sistem secara lebih telus dan pantas.

Contoh mudah kegunaan kontrak pintar dalam dunia sebenar yang boleh saya berikan dengan menggunakan polisi insuran pembatalan atau penangguhan penerbangan. Sebagai contoh saya hendak ke Korea menggunakan penerbangan Korean Air dan saya telah membeli polisi insurans yang menyatakan jika penerbangan ditangguhkan melebihi daripada enam(6) jam saya boleh menebus polisi tersebut. Namun kontrak tradisional yang digunapakai ketika ini memerlukan saya membuat beberapa panggilan telefon , menyediakan dokumen tertentu dan melalui beberapa proses yang panjang untuk menebus polisi saya tadi sehingga kadangkala saya boleh naik menyampah dan tidak mahu menebus polisi yang saya telah beli tadi disebabkan proses yang amat panjang dan mengambil masa serta memakan kos.

Namun , dengan mengunakan Kontrak Pintar oleh kerana data penerbangan tersedia secara meluas, kontrak boleh dihubungkan dengan penerbangan tertentu. Sebaik sahaja data penerbangan menunjukkan penerbangan ditangguhkan selama enam(6) jam, ia akan secara automatik melepaskan nilainya kepada saya dan saya sebagai pemegang polisi akan dibayar serta merta tanpa memerlukan saya menyediakan dokumentasi dan melalui proses yang panjang.

Tahukah anda Malaysia mengunakan teknologi blockchain untuk sijil vaksinasi [2] dengan menggunakan Kontrak Pintar khasnya bagi program vaksinasi negara. Perlaksanaan Smart Contract juga boleh dilakukan di dalam sektor kesihatan, insurans, pekerjaan, proses pilihan raya, rekod simpanan serta banyak lagi.

KEBAIKAN DAN HALANGAN KONTRAK PINTAR 

Kontrak pintar membolehkan orang dari seluruh dunia untuk bertransaksi antara satu sama lain tanpa memerlukan perantara, mengurangkan kos orang tengah  serta broker. Oleh kerana tidak ada pihak ketiga yang terlibat, tidak ada risiko manipulasi. Kontrak pintar dapat mengurangkan kos pentadbiran serta menjimatkan masa. Kontrak Pintar menawarkan autonomi (kuasa membuat keputusan) sepenuhnya kerana semua telah disandarkan pada blockchain malah kontrak pintar sangat selamat daripada risiko kehilangan data [3].

Satu cabaran dengan kontrak pintar adalah bahawa ia tidak dapat dipulihkan. Sekiranya kod tersebut mempunyai pepijat atau lebih dikenali bugs, membolehkan kemungkinan ada urus niaga yang tidak diingini berlaku dan saat ini tidak ada cara untuk undo atau mengembalikan keadaan asal. Seperti yang berlaku pada tahun 2018  menyebabkan penyerang atau hacker berjaya mencuri dana jutaan ringgit (USD 60 million) lebih dikenali sebagai Dao Hack [4].

KESIMPULAN 

Adaptasi kepada teknologi baharu ini sememangnya memerlukan masa dan saya percaya kita adalah generasi yang berada dalam tempoh awal penyesuaian teknologi blockchain itu sendiri. Smart Contract tidak dapat dinafikan bahawa evolusi teknologi yang perlu difahami dalam memudahcara urusan harian dan tidak dapat diragukan lagi  penggunaan Smart Contract sememangnya dapat menambah baik sistem yang sedia ada pada hari ini dan bakal menjadi sebahagian daripada hidupan harian kita sama seperti teknologi internet satu hari nanti. 

error: Content is protected !!