Rothschild Investment Corp tetap menambah pelaburan dalam Bitcoin dan Ethereum melalui Grayscale walaupun pasaran kripto masih lagi bergolak. Firma pelaburan ini dilihat melipatgandakan pelaburan dalam Bitcoin sejak April.
Perkara ini dimaklumkan kepada United State Securities dan Exchange Commision (SEC) pada Sabtu lepas. Rothschild kini memegang sejumlah 141,405 unit saham dalam Grayscale Bitcoin Trust (GBTC) berbanding 38,346 unit pada bulan April lepas. Firma tersebut turut melabur dalam Grayscale Ethereum Trust dan meningkatkan pegangan sehingga jumlah terkini adalah sebanyak 279,119 unit berbanding 265,302.
Rothschild Investment Corp dalam diam telah menambah pegangan dalam GBTC sehingga 300% sejak April. Setiap unit saham GBTC dianggarkan bernilai 0.000939767 BTC. Jadi Rothschild mempunyai pendedahan dalam Bitcoin sebanyak 132.8 BTC (anggaran $4.2 juta). Manakala anggaran $6.2 juta untuk nilai pegangan dalam Grayscale Ethereum Trust.
Walaupun pergerakan harga Bitcoin masih terumbang-ambing selama 3 bulan ini setelah mencapai paras tertinggi $64,500 pada pertengahan Mei lalu, ia tidak mengganggu keputusan pelaburan firma tersebut. Menurut Ketua Pegawai Executif Grayscale, Michael Sonnenshein, para pelabur institusi lebih fokus kepada pelaburan jangka masa sederhana dan panjang berbanding hanya melihat pergerakan harga jangka masa pendek.
Selain daripada Rothschild, pada Isnin lalu, firma pelaburan Ark Invest dilaporkan telah membuat pembelian sebanyak 310,000 unit saham GBTC iaitu bersamaan $8.81 juta pada ketika hari pembelian. Jumlah ini mewakili 0.5% dari jumlah portfolio pelaburan mereka. GBTC pernah mencapai paras tertinggi pada akhir Mac lalu dan ketika itu nilai GBTC mewakili 0.9% portfolio pelaburan Ark Invest.
Cointelegraph melaporkan bahawa Grayscale menjadi topik hangat pada minggu ini setelah mereka mengumumkan untuk melakukan unlock saham GBTC bernilai lebih 16,000 BTC pada hari Ahad lepas. Keadaan ini menimbulkan kegusaran kepada para pelabur dan mendorong tekanan jualan terhadap Bitcoin, ditambah lagi dengan penurunan harga yang berlaku pada hari Isnin dan Selasa lepas.
Walau bagaimanapun, para pelabur GBTC sebenarnya tidak boleh menebus saham mereka dan menjualnya untuk mendapatkan wang fiat. Jadi situasi ini sama sekali tidak boleh dijadikan faktor utama pergerakan pasaran Bitcoin. Grayscale sendiri ada membuat penjualan sebahagian kecil saham GBTC untuk tujuan pengurusan dana.
Sumber: Cointelegraph, Coindesk