Kredit Gambar: verdict.co.uk
Lebih dari 1 dalam 10 orang di Amerika membuat pelaburan dalam matawang kripto pada tahun ini. Kripto telah membuka peluang pelaburan yang terbuka kepada ramai orang. Ini bermakna lebih dari 10% populasi di Amerika telah menceburkan diri dalam pelaburan kripto. Peratusan ini adalah berdasarkan 2 laporan yang dikongsikan oleh sekumpulan penyelidik di University of Chicago dan sebuah platform pertukaran kripto yang terkenal iaitu Gemini.
Jom kita tengok apa kata laporan tersebut.
Laporan Tinjauan dari University of Chicago
Para penyelidik dari University of Chicago telah menjalankan satu tinjaun terhadap 1,000 orang antara 24 Jun dan 28 Jun. Menurut tinjaun yang dikeluarkan pada hari Khamis lalu, 13% dari responden pernah berdagang atau melabur dalam matawang kripto seperti Bitcoin, Ethereum dan Dogecoin pada tahun lalu. Daripada jumlah itu, 41% adalah wanita, 44% bukan berkulit putih, 35% berpendapatan kurang dari $60,000 setahun dan 45% berpendidikan lepasan kolej.
Manakala 24% dari responden pernah melabur atau berdagang dalam pasaran saham. Daripada jumlah ini, 38% adalah wanita, 35% bukan berkulit putih, 27% berpendapatan kurang dari $60,000 setahun dan 51% berpendidikan lepasan kolej.
Rata-rata pelabur kripto berusia lebih muda daripada pelabur saham. Purata usia pelabur kripto adalah 38 tahun berbanding 47 tahun bagi pelabur saham. Menurut Angela Fontes, Naib Presiden di Jabatan Ekonomi, Keadilan dan Kemasyarakatan di Pusat Penyelidikan Pendapat Nasional di University of Chicago, pelaburan matawang kripto telah memberi peluang kepada pelbagai jenis pelabur dan perkara ini adalah sesuatu yang sangat baik.

Beliau berkata lagi, penting untuk para pelabur mendapatkan maklumat yang tepat ketika mereka membuat keputusan pelaburan terutamanya dalam pelaburan yang bervolatiliti tinggi. Sebagai contoh, sepanjang bulan lepas, Bitcoin didagangkan dalam julat harga $30,000 ke $36,000. Perubahan harga Bitcoin adalah sekitar 20%. Dua bulan sebelumnya, Bitcoin mencecah paras tertinggi melebihi $60,000. Manakala bagi Indeks DJIA, perubahan mata hanya sekitar 3% kerana indeks bergerak dari paras sekitar 34,000 ke 35,000 pada bulan ini.
Laporan State of U.S Crypto Report 2021 dari Gemini
Pada bulan April tahun ini, platform pertukaran kripto, Gemini mengeluarkan laporan State of U.S Crypto Report 2021. Laporan ini dibuat berdasarkan tinjauan 3,000 responden berusia 18 hingga 65 tahun dengan pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya $40,000 setahun. Menurut laporan tersebut, 14% daripada populasi di Amerika memiliki kripto. Ini bermakna 21.2 juta orang dewasa di Amerika memiliki kripto. Daripada jumlah itu, 74% adalah lelaki, 77% berusia kurang daripada 45 tahun dan 71% berkulit putih. Kebanyakan pelabur kripto adalah lelaki berusia 38 tahun yang mempunyai pendapatan tahunan sebanyak $111,000.
Terdapat satu lagi golongan yang dipanggil “crypto-curious”. Mereka adalah golongan yang belum memiliki mana-mana matawang kripto tetapi berkehendak untuk belajar tentang kripto atau merancang untuk melabur dalam kripto. Golongan “crypto-curious” ini mewakili 63% orang dewasa di Amerika dan mereka berpotensi untuk mengubah lanskap para pemegang kripto yang sedia ada.
Lebih kurang 13% orang dewasa di Amerika bercadang untuk memiliki kripto dalam tempoh 12 bulan akan datang. Peratusan ini menjadikan jumlah pemegang kripto akan mencecah 19.3 juta. Sekarang hanya 26% pemegang kripto adalah wanita. Tetapi kaum hawa ini kini mewakili 53% golongan “crypto-curiuos”. Mereka ini berpotensi menjadi pemegang kripto pada masa akan datang.
Laporan penuh boleh diperolehi pautan ini: https://www.gemini.com/state-of-us-crypto
sumber: marketwatch.com,gemini.com