4 minit bacaan
Apa itu Proof of Stake?
Algoritma konsensus (consensus algorithm) Proof-of-Stake diperkenalkan pada tahun 2011 di forum Bitcointalk untuk menyelesaikan masalah algoritma paling popular semasa yang sedang digunakan iaitu Proof-of-Work. Walaupun kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk mencapai kata sepakat (consensus) dalam blockchain, proses untuk mencapai matlamat tersebut sangat berbeza.
Antara coin terkenal yang menggunakan algoritma ini adalah Cardano, Solana, Algorand dan Tezos. Ethereum 2.0 juga bakal menggunakan algoritma ini pada masa akan datang yang mana akan menjadi salah satu peranan besar dalam kenaikan harga Ethereum.
Bagaimanakah ia berfungsi?
Algoritma Proof-Of-Stake menggunakan proses pemilihan pseudo-rawak (pseudo-random) untuk memilih node supaya menjadi pengesah blok seterusnya berdasarkan gabungan faktor-faktor yang merangkumi usia staking (staking age), rawak (randomization), dan kekayaan node (node’s wealth).
Adalah baik untuk diperhatikan bahawa dalam sistem Proof-of-Stake, blok dikatakan ‘dibentuk’ dan bukannya dilombong. Cryptocurrency yang menggunakan Proof-of-Stake selalunya bermula dengan menjual coin yang baru dilombong atau dilancarkan dengan algoritma Proof-of-Work, dan kemudian beralih ke algoritma Proof-of-Stake.
Dalam sistem berasaskan Proof-of-Work semakin banyak cryptocurrency dicipta sebagai ganjaran untuk pelombong, dan sebaliknya sistem Proof-of-Stake biasanya menggunakan yuran transaksi sebagai ganjaran.
Pengguna yang ingin mengambil bahagian dalam proses pembentukan akan diminta untuk mengunci sejumlah coin ke dalam rangkaian sebagai stake mereka. Saiz stake menentukan peluang untuk node dipilih sebagai pengesah berikutnya untuk membentuk (forge) blok berikutnya (semakin besar stake, semakin besar peluangnya). Supaya proses tidak hanya memihak kepada node yang terkaya dalam rangkaian, lebih banyak kaedah yang lebih unik ditambahkan ke dalam proses pemilihan. Dua kaedah yang paling biasa digunakan adalah ‘Randomized Block Selection’ dan ‘Coin Age Selection’.
Dalam kaedah Randomized Block Selection, pengesah dipilih dengan mencari node dengan kombinasi nilai hash terendah dan stake tertinggi, dan oleh kerana saiz stake adalah umum, pembentuk blok seterusnya biasanya dapat diramalkan oleh node lain.
Kaedah Coin Age Selection memilih node berdasarkan berapa lama token mereka telah distake. Umur coin dikira dengan mendarabkan jumlah hari coin tersebut dipegang sebagai stake dengan jumlah coin yang distake (jumlah hari*jumlah coin). Sebaik sahaja node telah membentuk (forge) blok, usia coin mereka ditetapkan semula menjadi sifar dan mereka mesti menunggu satu jangka masa tertentu untuk dapat membentuk blok lain. Ini dilakukan untuk menghalang node dengan stake yang besar menguasai blockchain.
Setiap cryptocurrency yang menggunakan algoritma Proof of Stake mempunyai set peraturan dan kaedah mereka tersendiri yang digabungkan supaya bersesuaian dengan apa yang mereka fikir adalah gabungan terbaik untuk mereka dan pengguna mereka.
Apabila nod dipilih untuk membentuk blok seterusnya, ia akan memeriksa sama ada transaksi di blok itu sah, menandatangani blok tersebut dan menambahkannya ke blockchain. Sebagai ganjaran, node tersebut menerima yuran transaksi (ganjaran) yang berkaitan dengan transaksi di blok.
Sekiranya node ingin berhenti menjadi pembentuk blok (block forger), stakenya (jumah coin yang distake) bersama dengan ganjaran yang diperoleh akan dilepaskan setelah jangka masa tertentu supaya dapat memberi masa pada rangkaian untuk mengesahkan bahawa tidak ada penipuan dalam blok yang ditambahkan ke blockchain oleh node.
Baca juga: Apa Itu Dusting Attack?
Keselamatan
Stake berfungsi sebagai pendorong kewangan (financial motivator) untuk node yang membentuk blok supaya tidak mengesahkan atau membuat transaksi palsu. Sekiranya rangkaian mengesan penipuan dalam transaksi, node yang membentuk blok akan kehilangan sebahagian daripada stakenya dan haknya untuk menyertai sebagai pembentuk di masa depan. Oleh itu, selagi stakenya lebih tinggi daripada ganjaran, pengesah akan kehilangan lebih banyak coin daripada yang akan diperoleh sekiranya terdapat percubaan penipuan.
Sekiranya terdapat usaha untuk menguasai rangkaian secara efektif dan meluluskan transaksi palsu, node harus memiliki majoriti stake dalam rangkaian, juga dikenali sebagai 51% attack. Bergantung pada nilai cryptocurrency, ini sangat tidak praktikal kerana untuk mendapatkan penguasaan dalam rangkaian, anda perlu memperoleh 51% dari bekalan yang beredar (circulating supply).
Kelebihan utama algoritma Proof-of-Stake adalah penjimatan tenaga dan keselamatan. Sebahagian besar pengguna digalakkan untuk menjadi node kerana ianya mudah dan berpatutan. Ini bersama dengan proses rawak yang juga menjadikan rangkaian lebih terdesentralisasi kerana kolam perlombongan (atau biasanya dikenali sebagai mining pool) tidak lagi diperlukan untuk melombong blok. Oleh kerana terdapat sedikit keperluan untuk mengeluarkan banyak coin baru sebagai ganjaran, ini membantu harga coin tertentu kekal stabil.
Adalah bagus untuk fahami bahawa industri cryptocurrency selalu berubah dan berkembang dan terdapat juga beberapa algoritma dan kaedah lain yang sedang dikembangkan dan dieksperimen.
Sumber daripada binance academy, mycryptoversity dan coinmarketcap